Definisi Sahabat Nabi SAW

Sahabat Rasulullah SAW ialah individu yang hidup sezaman dengan Baginda, bertemu atau bersemuka, mendengar suara, serta mengenali Rasulullah SAW. Mereka beriman dan menjadi rakan seperjuangan Baginda, walaupun hanya untuk seketika. Sama ada mereka melihat atau tidak melihat jasad Baginda secara langsung, mereka tetap tergolong sebagai sahabat.


Sekiranya seseorang mengaku bertemu Rasulullah SAW secara sedar selepas kewafatan Baginda, pengakuan tersebut sukar diterima. Jika benar berlaku, individu itu akan diiktiraf sebagai sahabat, namun tiada sahabat mengaku bertemu atau melihat jasad Nabi SAW secara sedar selepas kewafatan Baginda.


Pertemuan dengan Nabi SAW hanya diterima jika berlaku dalam mimpi, dan itu pun hanya kepada individu yang diketahui soleh dan baik amalannya.



Keistimewaan dan Keadilan Sahabat Nabi SAW

Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kedudukan istimewa dan pengiktirafan tinggi daripada Allah SWT. Mereka bukan seperti manusia biasa, sebagaimana ditegaskan dalam Al-Quran dan hadis-hadis Baginda.


Dalil Al-Quran
  • Surah Al-Imran, Ayat 110:
    Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...
  • Surah Al-Fath, Ayat 18:
    Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon...
  • Surah Al-Fath, Ayat 29:
    Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka...

Dalil Hadis
  • Rasulullah SAW bersabda:
    "Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku (generasiku), kemudian mereka yang selepas mereka, kemudian mereka yang selepas mereka."
    HR. Bukhari no. 3651
  • Rasulullah SAW bersabda:
    "Janganlah kamu menghina para sahabatku. Sesungguhnya, jika salah seorang daripada kamu membelanjakan emas sebesar Gunung Uhud, ia tidak akan menyamai satu cupak (infaq) mereka, bahkan tidak juga separuh daripadanya."
    HR. Muslim no. 2541


Kesimpulan

Para sahabat Rasulullah SAW memiliki kedudukan yang unik kerana keimanan, amal, dan akhlak mereka yang tiada tandingan. Pengiktirafan mereka tidak bergantung pada manusia, tetapi diberikan langsung oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.


Sebarang kesalahan yang dilakukan oleh sahabat tidak menghilangkan sifat adil mereka, dan apa yang disampaikan oleh mereka selaras dengan Al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Jika terdapat dua riwayat yang kelihatan bertentangan, maka keduanya harus dikaji secara mendalam tanpa menolaknya secara mutlak.


Mempertikaikan sahabat adalah tindakan yang tidak wajar kerana mereka adalah sumber utama penyampaian ajaran Islam yang tulen.