Program Malam Kesenian Islam Dan Jom Selawat Sempena Program Kembara Selawat Santuni Umat di MTTJ

16 November 2024 — Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ), menjadi lokasi program "Malam Kesenian Islam Dan Jom Selawat sempena Program Kembara Selawat Santuni Umat" pada malam ini.


Acara anjuran Yayasan Taqwa (MAIWP), Pertubuhan Cakna Kebajikan Perpaduan dan Modal Insan Malaysia ini dimulakan selepas solat Isyak dan diacarakan oleh selebriti Salman Al Farisi (sitkom Jenaka Kampung Kalut) yang kemudiannya menjemput Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ untuk memberikan ucapan kata-kata aluan. Dalam ucapannya, Dr. Haji Abdullah yang mewakili warga MTTJ telah merakamkan ucapan terima kasih kepada Pertubuhan Cakna Kebajikan Perpaduan dan Modal Insan Malaysia yang di wakili oleh pengerusinya En.Asmawi Abd Rahman serta Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan atas pemilihan MTTJ sebagai lokasi untuk program ini. Beliau menyifatkan pemilihan tersebut sebagai satu penghormatan besar kepada MTTJ, yang mana ia mampu meneruskan tradisi memeriahkan masjid dengan program berbentuk ibadat, kebajikan, dan kesenian, seperti mana yang diadakan pada malam ini.


Majlis seterusnya menjemput En. Suhaili MD Jusoh @ Mohd Yusoff, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan untuk memberikan ucapan. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada warga MTTJ atas kejayaan merealisasikan pelaksanaan solat Subuh dengan suasana seperti solat Jumaat, sesuatu yang jarang-jarang dapat dilihat di tempat lain. Beliau turut mengambil kesempatan untuk menerangkan secara ringkas tentang peranan dan fungsi penubuhan Yayasan Taqwa yang bertujuan untuk mengagihkan zakat kepada golongan asnaf. Usai ucapannya, beliau menyempurnakan perasmian majlis pada malam ini.


Majlis diteruskan dengan Bacaan Asmaul Husna, diikuti dengan alunan bacaan Al-Quran dan selawat yang menghidupkan suasana pada malam ini. Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan NadaMurni II & Friends, bersama selebriti jemputan seperti Along Gambus, dan Pak Dinie Juri.


Selain itu, sebanyak 50 pek makanan asas diagihkan kepada penerima yang layak. Setiap pek, bernilai RM100, mengandungi pelbagai barangan keperluan asas harian. Agihan pek makanan ini dikelolakan oleh Biro Kebajikan dan Sosial MTTJ.


Lihat Video Facebook Logo

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama