
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
26/02/2025 | Ustaz Dr. Ahmad Irfan Ikmal Hisham | — |
Nabi Musa a.s dibesarkan di istana Firaun setelah dihanyutkan di Sungai Nil oleh ibunya bagi mengelakkan baginda dibunuh. Baginda hidup dalam kemewahan di bawah jagaan keluarga diraja Mesir. Namun, selepas berlaku satu insiden di mana baginda tanpa sengaja membunuh seorang lelaki Mesir yang menindas seorang Bani Israil, baginda terpaksa berhijrah ke Madyan untuk menyelamatkan diri. Pada ketika itu, Firaun yang memerintah dan mengejarnya ialah Merneptah.
Setibanya di Madyan, Nabi Musa a.s bertemu dengan seorang lelaki soleh yang mempunyai dua orang anak gadis. Baginda melihat gadis-gadis tersebut sedang menunggu giliran untuk memberi minum kepada ternakan mereka kerana tidak mahu bersesak dengan lelaki-lelaki lain. Dengan penuh keikhlasan, Nabi Musa a.s membantu mereka memberi minum kepada ternakan tanpa menyentuh mereka. Sikap baik hati dan budi pekerti baginda menarik perhatian ayah gadis-gadis tersebut. Oleh itu, lelaki soleh itu menawarkan salah seorang anaknya untuk dikahwini oleh Nabi Musa a.s dengan syarat baginda perlu bekerja selama lapan atau sepuluh tahun. Dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab, Nabi Musa a.s menerima syarat tersebut dan bekerja selama sepuluh tahun.
Setelah tamat tempoh perjanjian, Nabi Musa a.s pun memutuskan untuk kembali ke Mesir bersama isterinya. Dalam perjalanan pulang, baginda melihat api di Bukit Tursina dan segera menuju ke arah api tersebut. Di sana, baginda mendengar seruan Allah SWT yang berfirman: "Wahai Musa, Aku adalah Tuhan sekalian alam." Pada ketika itu, Allah SWT memerintahkan Nabi Musa a.s agar menghentakkan tongkatnya, dan serta-merta tongkat itu berubah menjadi seekor ular besar. Baginda merasa takut, namun Allah SWT menyuruhnya mengambil semula tongkat tersebut. Peristiwa ini merupakan satu bentuk latihan mental dan ujian keimanan bagi Nabi Musa a.s sebelum baginda berhadapan dengan ahli sihir Firaun.
Kaedah Cerapan Anak Bulan Penentuan awal bulan hijriah dilakukan melalui kaedah rukyah dan hisab. Rukyah merujuk kepada cerapan anak bulan selepas matahari terbenam, manakala hisab menggunakan pengiraan astronomi untuk menentukan kedudukan bulan. Dalam cerapan, dua syarat utama mesti dipenuhi. Pertama, hilal harus berada pada ketinggian melebihi 3° dari ufuk. Kedua, sudut elongasi antara bulan dan matahari mestilah sekurang-kurangnya 6.4° untuk memastikan hilal dapat dilihat dengan jelas. Cerapan dilakukan di lokasi dengan ufuk terbuka, seperti pantai atau kawasan tinggi, menggunakan mata kasar atau teleskop. Jika hilal kelihatan, keesokan harinya menjadi permulaan bulan baru, manakala jika tidak, bulan sedia ada digenapkan menjadi 30 hari. Kaedah ini memastikan penentuan awal bulan hijriah lebih tepat dan tersusun, memudahkan penyelarasan kalendar Islam.












Catat Ulasan