Perkara yang Membatalkan Puasa dan Diwajibkan Membayar Kifarah
1. Melakukan Jimak di Bulan Ramadan
Antara perkara yang membatalkan puasa dan mewajibkan kifarah ialah apabila seseorang melakukan jimak (hubungan suami isteri) pada siang hari bulan Ramadan.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., seorang lelaki datang bertemu Nabi Muhammad SAW dan berkata dan berkata, 'Wahai Rasulullah, aku telah binasa.' Baginda bertanya, 'Apa yang terjadi padamu?' Lelaki itu menjawab, 'Aku telah menggauli isteriku pada siang hari bulan Ramadan.' Rasulullah SAW bertanya, 'Adakah kamu memiliki hamba untuk dimerdekakan?' Lelaki itu menjawab, 'Tidak.' Baginda bertanya lagi, 'Mampukah kamu berpuasa dua bulan berturut-turut?' Lelaki itu menjawab, 'Tidak.' Baginda bertanya lagi, 'Dapatkah kamu memberi makan enam puluh orang miskin?' Lelaki itu menjawab, 'Tidak.' Rasulullah SAW pun diam sejenak. Ketika kami dalam keadaan demikian, seseorang membawa kepada Nabi SAW satu bakul berisi kurma. Baginda bersabda, 'Di manakah orang yang bertanya tadi?' Lelaki itu menjawab, 'Saya.' Baginda bersabda, 'Ambillah ini dan bersedekahlah dengannya.' Lelaki itu berkata, 'Wahai Rasulullah, adakah (aku harus memberikannya) kepada orang yang lebih miskin daripada kami? Demi Allah, tidak ada di antara dua kawasan berbatu di Madinah ini keluarga yang lebih miskin daripada keluarga kami.' Mendengar hal itu, Nabi SAW tertawa sehingga tampak gigi gerahamnya, kemudian bersabda, 'Berikanlah (kurma ini) kepada keluargamu.'"
(Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1936 dan Muslim, no. 1111)
2. Hukum Membayar Kifarah
Menurut jumhur ulama (majoriti ulama), kedua-dua pihak yang melakukan jimak di siang hari Ramadan wajib membayar kifarah.
Namun, menurut mazhab Syafie, hanya suami diwajibkan membayar kifarah, tidak kira sama ada isteri melakukannya secara rela atau terpaksa. Isteri hanya perlu mengqadakan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.
Imam Nawawi dan Imam Ahmad menyatakan bahawa kewajiban kifarah hanya tertanggung pada suami, bukan isteri.
3. Urutan Membayar Kifarah
Mengikut jumhur ulama, kifarah hendaklah dibayar mengikut urutan berikut:
i. Membebaskan seorang hamba sahaya.
ii. Berpuasa selama dua bulan berturut-turut.
iii. Memberi makan kepada 60 orang miskin.
Namun, menurut mazhab Maliki, seseorang boleh memilih mana-mana bentuk kifarah tersebut tanpa mengikut turutan.
4. Hukum Mengulangi Jimak
- Jika seseorang melakukan jimak pada dua hari yang berbeza di bulan Ramadan, menurut mazhab Hanafi, dia hanya perlu membayar satu kifarah sahaja.
- Menurut mazhab Maliki, dia perlu membayar dua kali kifarah kerana setiap hari dianggap sebagai kesalahan yang berasingan.
Jika seseorang melakukan jimak dua kali dalam satu hari, hanya satu kifarah yang diwajibkan, menurut jumhur ulama.
5. Qada' dan Kifarah
Mengqadakan puasa Ramadan tidak diwajibkan dilakukan dengan segera. Ia boleh dilakukan mengikut kelapangan seseorang, begitu juga dengan membayar kifarah.
Sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadan wajib mengqadakan puasa tersebut mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 184:
"Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain."
6. Cara Mengqadakan Puasa
Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa qada' puasa boleh dilakukan secara berterusan atau berselang-seli.
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
7. Hukum Puasa Bagi Orang yang Meninggal Dunia
Jika seseorang meninggal dunia tanpa sempat mengqadakan puasanya, orang lain tidak boleh menggantikan puasa bagi pihaknya. Namun, jika orang tersebut masih hidup, hanya dia yang boleh menggantikan puasanya sendiri.
Catat Ulasan