
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
25/02/2025 | Ustaz Mohd Asri Awang | — |
Syukur atas kasih sayang Allah yang mengizinkan kita untuk terus hidup di atas bumi milik-Nya. Hakikatnya, segalanya yang kita ada ini bukanlah hak milik kekal kita, sebaliknya hanyalah pinjaman sementara. Ingatlah bahawa segala harta benda yang kita miliki, termasuk wang ringgit, tanah, rumah, dan kenderaan, semuanya akan kita tinggalkan apabila tiba saat bertemu dengan Allah untuk menjadi penghuni tempat yang bernama kubur.
Kita tidak diberi pilihan untuk menentukan bilakah waktu kita akan dipanggil pulang. Apabila tiba masanya, ia tidak akan dilewatkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Oleh itu, kita ditugaskan untuk sentiasa mengingatkan diri agar mempersiapkan diri mulai sekarang untuk menjadi seorang penghuni kubur yang bersedia. Mudah-mudahan, kehadiran kita ke masjid ini menjadi sebahagian daripada persiapan untuk menghadapi kematian yang pasti akan tiba.
Diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghifari. Dalam hadis tersebut, Rasulullah SAW bersabda;
"Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)." — HR.Tirmidzi no.806, Abu Daud no.1375, Ibnu Majah no.1327, Nasa'i no.1364
Maka pada malam bulan Ramadhan adalah digalakkan untuk solat selesai bersama imam agar mendapat pahala seperti solat sepanjang malam. Sekiranya seseorang itu tidak meninggalkan witir bersama imam kerana hendak melakukannya di rumah maka ia tidak mendapat pahala tersebut. Bayangkan seseorang yang melakukannya akan mendapat pahala seperti solat sunat dua rakaat dari selepas Isyak hingga ke waktu Subuh. Solat sunat malam dituntut untuk dilakukan dua rakaat-dua rakaat, berdasarkan hadis;
"Solat malam itu dua rakaat dua rakaat. Jika salah seorang di antara kalian khuatir masuk waktu Subuh, maka hendaklah dia solat satu rakaat sebagai witir bagi solat-solat yang telah dikerjakan."— HR. Bukhari no. 990
Majoriti ulama berpendapat bahawa sesiapa yang solat terawih sebanyak empat rakaat dengan satu salam, maka solatnya tidak sah. Imam Nawawi menyatakan ia perlu dilaksanakan dengan dua rakaat salam, dua rakaat salam.
Maka pesanlah kepada ahli keluarga agar mereka tidak meninggalkan imam setelah selesai solat sunat, haruslah selesai bersama imam hingga solat witir untuk mendapat ganjaran pahala solat sepanjang malam.
Bagi yang hendak melakukan witir di akhir malam, dan tidak melakukannya bersama imam di masjid maka apa yang boleh dia lakukan ialah; ketika imam melakukan solat witir untuk dua rakaat awal, dia boleh mengikut imam dengan niat solat sunat yang lain, selesai memberi salam, imam akan melakukan satu lagi baki solat witir, maka dia boleh solat sunat dengan mengikut imam solat witir tersebut satu rakaat dan apabila imam memberi salam, dia boleh menambah satu rakaat lagi. Maka, dalam situasi ini, dia juga akan mendapat pahala seperti solat sepanjang malam.
Namun untuk lebih selamat, solatlah witir bersama-sama imam secara berjemaah. Jumhur ulamak mengatakan bahawa, bagi sesiapa yg hendak melakukan qiam, seperti bertahajud atau qiyamullai sedangkan dia sudah selesai solat witir maka dia boleh melakukan seberapa banyak solat sunat, tetapi tidak lagi melakukan solat witir, kerana terdapat hadis yang melarang perbuatan tersebut. Nabi SAW bersabda;
"Tiada dua witir dalam satu malam."— HR.Tirmidzi no. 470
Oleh itu, jika seseorang telah menunaikan solat witir selepas solat terawih bersama imam, dan kemudian bangun untuk qiyamullail (solat malam) di akhir malam, dia tidak perlu mengulangi solat witir. Sebaliknya, dia boleh menunaikan solat sunat lain seperti tahajud tanpa menambah solat witir lagi.
Jika seseorang yang sudah melakukan witir bersama imam secara berjemaah, tetapi berniat hendak bangun untuk solat malam, tetapi tidak terjaga, maka memadai dengan pahala ganjaran pahala solat sepanjang malam sebagaimana yang dinyatakan.
Pada zaman Nabi SAW, pada malam pertama solat terawih baginda solat di masjid, dan sahabat ikut Nabi melakukannya di masjid. Sehinggalah pada malam ke 3 (atau ke-4), Nabi tidak keluar rumah dan berhenti solat di masjid kerana baginda mendapati masjid dipenuhi oleh para sahabat. Keesokan harinya, Baginda bersabda kepada para sabahat bahawa tindakan tersebut dilakukan kerana bimbang solat terawih akan diwajibkan ke atas umatnya.
Dari Aisyah, beliau meriwayatkan sebuah hadis;
"Rasulullah SAW tidak pernah solat malam lebih dari sebelas rakaat, baik pada bulan Ramadhan maupun di luar Ramadhan".— HR.Bukhari no.1147
Nabi solat dua rakaat dengan satu salam, kemudian melakukannya sekali lagi. Selepas itu Nabi berhenti untuk berehat sebelum menyambung solatnya. Pada masa ini sesetengah tempat menggantikan waktu rehat tersebut dengan berselawat dan ada tempat seperti di Mesir mengisi sela waktu tersebut dengan membaca surah Al-Ikhlas. Namun, tiada satu hadis pun yang menyatakan arahan untuk berselawat dalam tempoh rehat tersebut.
Orang yang bermusafir dibolehkan menunaikan solat witir selepas melaksanakan solat jamak. Solat witir tetap disyariatkan walaupun dalam keadaan musafir kerana ia adalah solat sunat muakkad yang sangat dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Lakukanlah solat witir, walaupun satu rakaat, kerana ia merupakan suatu yang sangat digalakkan. Sebagaimana sabda baginda;
"Solat witir adalah hak (tuntutan) atas setiap Muslim."—HR. Abu Daud no. 1416

















Catat Ulasan