13 Mac 2025 — Seramai tiga wakil dari Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) hari ini telah menghadiri taklimat Program Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang diadakan di Bilik Mesyuarat, Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh.
Program tersebut dipengerusikan oleh Tuan Kadi Daerah Temerloh, Ustaz Abdul Aziz Abdul Karim, manakala sesi penerangan telah disampaikan oleh Dr. Amir dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HOSHAS).
MTTJ akan membuka peluang kepada ahli khariah masjid yang berminat untuk menyertai program sukarelawan HMI. Ahli yang terpilih akan diberikan kursus khas untuk mempersiapkan mereka dalam menjalankan tugas sukarelawan. Antara tugas yang akan dijalankan adalah mengingatkan pesakit tentang kepentingan menjaga solat fardu, memberi tunjuk ajar mengenai tatacara berwuduk dan solat semasa sakit, serta memberi sokongan spiritual dan emosi kepada pesakit.
Selain MTTJ, beberapa masjid lain di daerah Temerloh turut terpilih untuk menyertai program ini.
Untuk rekod, Program HMI merupakan inisiatif yang bertujuan menerapkan dan menghayati nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan hospital. Ia merupakan platform kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Agama Islam Negeri dalam usaha mencapai indeks syariah dalam bidang kesihatan.






Catat Ulasan