Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Iftar Jama'ie MTTJ


19 Mac 2025 — Seramai 190 penerima sumbangan terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU) dan hufaz diraikan dalam satu majlis penyampaian sumbangan yang diadakan serentak dengan Majlis Iftar Jama'ie di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) petang ini.


Majlis yang dianjurkan oleh pihak masjid ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan dalam kalangan ahli khariah masjid dan menghargai para hufaz dalam khariah MTTJ. Pengerusi Biro Kebajikan dan Sosial (BKS) MTTJ, En. Ab Manaff Safien, memaklumkan bahawa semua penerima bantuan telah disenarai pendek daripada pangkalan data BKS bagi memastikan sumbangan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.


Turut hadir bagi memeriahkan majlis ialah Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail, Timbalan Pengerusi, Dato'  Zainal Abidin Md. Amin, Bendahari masjid, Tuan Haji Hassan samadi dan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) MTTJ, AJK Biro BKS serta petugas-petugas masjid.


Majlis bermula pada pukul 5.45 petang dengan kehadiran dan pendaftaran peserta sebelum acara rasmi dikendalikan oleh Setiausaha MTTJ, En. Zulkanain Hashim, selaku pengacara majlis. Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail, kemudian menyempurnakan majlis dengan ucapan alu-aluan dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk tetamu jemputan dan para penerima sumbangan. Beliau turut menzahirkan harapan agar majlis kebajikan ini diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.


Pihak masjid telah menyalurkan sumbangan berjumlah RM36,700 kepada para penerima, termasuk RM10,000 daripada Yayasan KOSMA. Selain itu, Angah Santan Taman Chengal turut menyumbangkan 200 kampit beras seberat 5kg setiap satu kepada penerima. Dr. Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada para penaja yang bermurah hati menghulurkan sumbangan.


Sumbangan telah diagihkan mengikut kategori berikut:

RM250 bagi setiap penerima asnaf
RM100 bagi setiap penerima OKU
RM200 bagi setiap anak yatim
RM200 bagi setiap hufaz


Dalam ucapannya juga, Dr. Abdullah menyeru para penerima agar terus mendekatkan diri dengan masjid serta berusaha menyumbang kepada institusi ini dalam apa jua bentuk yang mampu. Beliau berharap usaha ini akan dinilai sebagai ibadah oleh Allah SWT.


Acara seterusnya menyaksikan penyerahan sumbangan kepada para penerima oleh Dato' Zainal Abidin Md. Amin, yang diiringi oleh Tuan Haji Hassan Samadi, En. Abd Manaff Safien; En. Muhammad Asrie Rosli (Eksekutif Yayasan KOSMA), serta En. Muhammad Firas Zikry Mohd Hikmal (Pembantu Eksekutif Yayasan KOSMA).


Majlis diakhiri dengan bacaan doa oleh Imam II MTTJ, Haji Hussin Mohamed, sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka puasa.



Gambar-Gambar

Gambar beresolusi tinggi, sila tunggu sehingga ia selesai dimuatkan.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama