
31 Mac 2025 — Hari ini, bersamaan 1 Syawal 1446H, umat Islam meraikan hari kemenangan setelah berpuasa selama sebulan. Tidak ketinggalan, sambutan Aidilfitri yang diraikan di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) turut berlangsung meriah dengan kehadiran ahli kariah dan anak-anak perantauan yang pulang berhari raya.
Seawal pagi, masjid yang lebih sinonim dengan panggilan Masjid Temerloh Jaya ini sudah mula dipenuhi jemaah. Laungan takbir bergema, menyambut kehadiran mereka. Kemuncaknya, dianggarkan lebih 1,400 jemaah telah membanjiri masjid di segenap ruang hingga ke laman masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi ini.
Program pagi ini dimulakan dengan ucapan ringkas oleh Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ, disusuli solat sunat Aidilfitri yang dipimpin oleh Imam 1 MTTJ, Ustaz Haji Mohd Asri Awang. Seterusnya, khutbah disampaikan oleh Imam Muhammad Shafiyuddin bin Mohd Asri.
Sementara itu, Dr. Abdullah dalam perutusan hari rayanya mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri kepada seluruh ahli kariah dan komuniti Taman Temerloh Jaya. Tambahnya lagi, hari raya ini bukan sekadar perayaan, tetapi satu tanda kejayaan dalam mendisiplinkan diri, meningkatkan keimanan serta memperkukuh ukhuwah sesama kita.
Pihak Media & Publisiti MTTJ turut membuat rakaman yang boleh ditonton melalui pautan di bawah.











































Catat Ulasan