Bulan Ramadan adalah waktu yang dinanti-nantikan oleh umat Islam untuk memperbanyakkan ibadah dan mencari keampunan. Bagi mereka yang benar-benar memanfaatkan keistimewaan bulan mulia ini, ibadah bukan hanya terhad kepada puasa, tetapi juga merangkumi solat tarawih, solat jemaah, majlis ilmu, dan pelbagai amalan lain dalam usaha meraih keredaan Allah.
Bagi Haji Rokib@Zahir bin Ahmad, 67, dan isterinya, Hajah Marsidah Ahmad, 61, dari Bandar Sri Jempol, Negeri Sembilan, mereka memilih Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) atau Masjid Temerloh Jaya sebagai pilihan setiap tahun untuk mereka menghayati keberkatan Ramadan bersama-sama khariah MTTJ. Pada tahun ini Haji Rokib akan menghabiskan 20 hari di Masjid Temerloh Jaya dan akan pulang berada di Kedah selepas itu.
Baru-baru ini, Media & Publisiti MTTJ berkesempatan menemubual Haji Rokob untuk berkongsi pengalaman beliau sepanjang berada di Masjid Temerloh Jaya pada bulan Ramadan tahun ini.
Temubual Team Media & Publisiti MTTJ bersama Haji Rokib@Zahir Ahmad
Tarikh: 20 Mac 2025 (19 Ramadan 1446h)
Masa: 10.36am hingga 11.11am
Lokasi: Bilik Imam, MTTJ
Assalamuakailum, boleh Haji perkenalkan diri telebih dahulu
Waalaikumsalam, nama saya Haji Rokib bin Ahmad. Berasal dari Kedah, tetapi menetap di Bandar Sri Jempol, Bahau, Negeri Sembilan. Umur saya kini mencecah 67 tahun. Saya mempunyai enam orang anak, dan masing-masing sudah bekerja.
Adakah Haji sudah pencen?
Ya, saya sudah pencen dari Telekom. Setelah beberapa tahun bekerja, saya berpindah ke Bandar Seri Jempol kerana berkahwin dengan orang sana. Isteri saya mempunyai rumah di sana, dan saya sendiri mempunyai rumah di Kajang. Saya bersara awal pada tahun 2017. Sekarang, sudah hampir lapan tahun saya pencen. Saya bersara pada usia 58 tahun.
Sejak bila Haji mengenali masjid ini (MTTJ)?
Saya mula mengenali masjid ini melalui TikTok. Saya terlihat video Masjid Temerloh Jaya yang tular di media sosial. Saya lihat ramai yang solat berjemaah di sini, dan saya tidak pernah melihat suasana sebegitu. Jadi, saya pun datang untuk melihat sendiri.
Bagaimana pengalaman pertama Haji di sini?
Kali pertama saya datang, saya solat Subuh di luar (foyer) kerana ruang dalam masjid sudah penuh. Saya lihat ramai orang, bukan sahaja dari kawasan sekitar tetapi juga dari jauh. Saya terfikir, "Ini memang luar biasa." Saya merasakan ada keistimewaan pada masjid ini yang menarik ramai orang.
Sejak bila Haji mula datang ke sini secara kerap?
Saya mula datang sejak masjid ini viral di TikTok, kira-kira tiga hingga empat tahun yang lalu. Kadang-kadang sebulan atau dua bulan sekali saya akan datang ke masjid ini. Jika saya dalam perjalanan ke Terengganu atau Kelantan misalnya, saya akan singgah bermalam di sini. Masjid ini seperti 'one-stop center' bagi saya. Saya boleh berehat dengan selesa kerana kemudahan yang disediakan sangat lengkap. Saya akan menginap semalam di homestay Cikgu Zul (Roomstay Cikgu Zulhanee) yang berhadapan dengan masjid.
Apa yang membuatkan masjid ini begitu istimewa bagi Haji?
Masjid ini bukan sekadar tempat solat, tetapi banyak kemudahan disediakan seperti program berbuka puasa, majlis agama, tadarus Al-Quran, dan lain-lain aktiviti. Setiap kali saya datang, saya lihat ramai jemaah. Memang hebat.
Apa yang membuatkan Haji terus tertarik untuk datang ke sini?
Saya kagum dengan pengurusan masjid ini. (di tempat lain) untuk solat Subuh pun sukar mendapatkan dua saf penuh. Tetapi di sini, Alhamdulillah, masjid ini mencetuskan suasana yang sangat baik dan menarik ramai jemaah.
Adakah keluarga Haji tahu keberadaan Haji sepanjang bulan Ramadan ini?
Ya, saudara mara saya sendiri tahu apabila tiba bulan puasa saya akan berada di Masjid Temerloh Jaya. Namun ada juga saya balik ke Bandar Sri Jempol untuk mengambil barang keperluan, dan kemudian saya akan datang ke sini semula.
Pada pandangan Haji, bagaimana penerimaan jemaah masjid ini terhadap tetamu dari luar
Saya dapati jemaah di sini sangat mesra. Mereka tidak sombong dan menerima kehadiran orang luar dengan baik. Ini yang membuatkan saya selesa datang ke sini. Malah sepanjang berbuka puasa di sini saya diundang untuk duduk di meja VIP (AJK/petugas). Saya juga sudah mengenali beberapa orang jemaah tegar di masjid ini.
Selain suasana jemaah yang mesra, apa lagi kelebihan masjid ini?
Kebersihan masjid sangat terjaga, termasuk tandas dan kawasan sekitarnya. Selain itu, masjid ini menggunakan sistem tenaga solar untuk menjimatkan penggunaan elektrik. Ia menunjukkan bahawa pihak pengurusan masjid mempunyai visi yang jelas dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Bagaimana dengan aktiviti Haji sepanjang Ramadan di sini?
Sepanjang Ramadan, saya melakukan iktiqaf di masjid ini. Saya biasanya masuk ke dalam masjid sekitar jam 10.00 pagi sebelum pulang pada tengahari. Pada waktu petang, saya datang semula selepas Asar sehingga sebelum berbuka puasa.
Bagaimana dengan pengalaman berbuka puasa di masjid ini?
Saya terkejut melihat jumlah jemaah berbuka puasa yang mencecah 400 hingga 500 orang setiap hari. Pengurusan makanan sangat sistematik, dan suasana berbuka di sini sangat meriah. Makanan yang disediakan sangat istimewa dan bukan 'cokia' (ala kadar), malah menggunakan perkhidmatan katering juga, ada standard yang tersendiri.
Bagaimana pengalaman Haji dengan suasana solat Tarawih di masjid ini?
Saya dapati bacaan imam sangat baik dan tidak membosankan. Saya tidak mengantuk langsung ketika mendengar bacaan imam. Ini menunjukkan imam di sini benar-benar memahami peranan mereka dalam menarik jemaah. Nampaknya, jadual imam di sini disusun dengan begitu teliti.
Sepanjang berada di Temerloh ini, adakah tempat-tempat lain yang sudah dilawati
Saya hanya pergi ke bazar Ramadan sahaja, saya tidak ke tempat lain kecuali berada di masjid. Saya suka berada di dalam masjid ini dan fokus kepada ibadah sepanjang bulan puasa ini. Namun pada bulan lain jika berada di sini saya akan pergi juga ke tempat-tempat lain di Temerloh ini.
Adakah Haji menceritakan pengalaman berada di masjid ini kepada rakan-rakan di tempat Haji?
Ya, saya tunjukkan kepada mereka gambar-gambar jemaah di Masjid Temerloh Jaya yang begitu ramai dan meriah. Ada rakan-rakan saya yang berhajat juga hendak datang ke sini dan merasai suasana seperti yang digambarkan.
Apa yang Haji harapkan untuk masa depan masjid ini?
Saya berharap masjid ini terus berkembang dan menjadi contoh kepada masjid lain. Ia bukan sahaja terkenal kerana keindahannya tetapi juga kerana program dan aktiviti yang menarik jemaah.
Bagaimana Haji melihat usaha pihak pengurusan dalam mengekalkan keistimewaan masjid ini?
Pihak pengurusan masjid ini sangat strategik dalam menarik jemaah. Mereka sentiasa berusaha memastikan masjid ini relevan dan menjadi tempat utama untuk beribadah serta menuntut ilmu.
Akhir sekali, ada apa yang Haji hendak sampaikan?
Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pengurusan masjid dari Pengerusi hingga ke jemaah kerana sudi menerima saya di sini. Bagi saya masjid ini memang terbaik, saya tidak ada komplen terima kasih banyak-banyak.
Catat Ulasan