
27 Mac 2025 — Program Khatam Al-Quran Muslimin telah berlangsung di dewan solat utama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya (MTTJ) selepas solat Asar petang ini.
Bacaan khatam Al-Quran ini dipimpin oleh Imam Nasrullah Abd Ghani, manakala majlis telah diacarakan oleh En. Safri Harun.
Sebagai pembuka acara, En. Nasran Hussin selaku penyelia program telah menyampaikan kata-kata aluan. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada tenaga pembimbing yang telah membantu melancarkan program tadarus Al-Quran. Beliau turut menzahirkan harapan agar amalan membaca Al-Quran dapat dinormalisasikan dalam kehidupan seharian serta menggalakkan lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.
Majlis diteruskan dengan sesi perasmian penutupan yang disempurnakan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan petugas program tadarus yang diketuai oleh En. Nasran Hussin atas pengurusan program yang teratur dan sistematik. Beliau turut mengingatkan para peserta agar terus istiqamah dalam membaca Al-Quran kerana ganjaran pahala yang besar dijanjikan oleh Allah SWT. Selain itu, beliau menegaskan bahawa segala amalan, termasuk bacaan Al-Quran, adalah wasilah untuk mencapai ketakwaan. Majlis penutup kemudian disempurnakan secara rasmi untuk program tadarus Al-Quran MTTJ tahun ini.
Sebagai tanda penghargaan, sesi penyampaian cenderahati telah diadakan kepada enam ketua kumpulan tadarus yang mewakili setiap kumpulan peserta. Cenderahati disampaikan oleh Dr. Haji Abdullah Ismail dan Dato' Zainal Abidin Md. Amin, Timbalan Pengerusi MTTJ, dengan diiringi oleh Tuan Haji Hassan Samadi selaku Bendahari masjid; En. Nasran Hussin dan Imam Nasullah Abd Ghani.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan kepada para peserta Program Khatam Al-Quran tahun ini.












































Catat Ulasan