Kuliah Dr. Haji Abdullah Ismail, Pengerusi MTTJ di Pahang FM



24 Mac 2025 – Pengerusi Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Dr. Haji Abdullah Ismail, telah diundang ke Pahang FM bagi menyampaikan kuliah ringkas mengenai Ramadan dan usaha memakmurkan masjid.


Kuliah tersebut dirakam di bilik seminar RTM, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Rakaman selama satu jam itu dibahagikan kepada dua bahagian, dengan siri pertama disiarkan pada 24 Mac dan siri kedua pada 25 Mac.


Sesi rakaman turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, En. Arifin Awang, bersama kakitangan RTM Pahang. Sebagai tanda penghargaan, En. Arifin Awang turut menyampaikan cenderahati kepada Dr. Abdullah selepas sesi rakaman berakhir.


Berikut adalah transkrip rakaman kuliah untuk siri 1 dan siri 2

Siri 1: Bahagia Pertama


Kita mulakan siri kuliah kita ini dengan mengulangi sekali lagi ayat yang biasa diperdengarkan pada setiap kali datangnya bulan Ramadan, Sekejap sahajanya (tiba bulan Ramadan) pantas perjalanannya Tetapi alangkah cantik dan indahnya dalam perjalanan ini, kita terus muhasabah diri kita agar kita dapat melihat Ramadan, kita dapat melihat amalan puasa ini dari satu sudut sisi pandang yang betul agar apabila kita lihat Ramadan dan keberkatannya, amalan puasa dan ganjarannya, maka akan timbul rasa dan perasaan kasih dan sayang kita untuk tidak mahu berpisah dengan Ramadan. Bukan sebaliknya, iaitu mengira-ngira untuk meninggalkan Ramadan. 
Mari kita hayati firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 183:


"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."


Ayat ini membicarakan tentang kewajiban berpuasa dan anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Puasa bukan sekadar ibadah biasa, tetapi satu amalan besar yang telah diamalkan oleh para nabi terdahulu. Sebagai hamba Allah, kita mesti meraih manfaat daripada ibadah puasa di bulan Ramadan. Di penghujungnya nanti, InsyaAllah, kita berharap agar Allah SWT menganugerahkan kepada kita satu nikmat yang amat berharga, iaitu taqwa.


Kenapa kita menginginkan anugerah taqwa? Kita mahukan anugerah ini kerana taqwa memudahkan jalan kita menuju syurga. Taqwa juga menjadi sebab turunnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Rahmat Allah akan diberikan kepada insan yang bertaqwa.


Siapakah insan yang bertaqwa? Inilah yang kita harapkan daripada amalan soleh yang kita lakukan, terutama ibadah puasa di bulan Ramadan, serta amalan-amalan lain yang kita tambah dari masa ke masa. Natijahnya, semua ini akan membentuk kita menjadi insan yang bertaqwa.


Marilah kita mendengar satu terjemahan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Hadis ini menggambarkan perspektif tentang Ramadan dan ibadah puasa, supaya kita dapat melihat betapa agungnya bulan yang penuh keberkatan ini, yang kini sedang kita lalui.


Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, Nabi SAW bersabda:


"Akan datang kepada kamu bulan Ramadan yang diberkati. Di dalamnya diwajibkan berpuasa, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan para syaitan dirantai. Pada bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dan sesiapa yang terhalang daripada mendapat kebaikannya, maka rugilah dia."— HR. Ahmad no. 8769.

 

Mari kita imbas sedikit beberapa terma penting daripada hadis yang telah disebut tadi. Antara yang disebut oleh Nabi SAW ialah bahawa bulan Ramadan ini merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan.


Memang benar, keberkatan Ramadan dapat kita rasai sendiri. Jika dahulu kita malas, hari ini kita lebih rajin. Jika dahulu masjid kosong, kini masjid semakin penuh. Jika dahulu kita tidak ambil kisah tentang waktu Maghrib, hari ini kita menantikannya dengan penuh kesabaran. Jika dahulu waktu Subuh kita abaikan, kini kita lebih berwaspada takut jika makan lagi. Begitulah keberkatan Ramadan yang begitu besar dalam kehidupan kita.


Keberkatan yang ada dalam bulan Ramadan ini, tuan-tuan sekalian, benar-benar luar biasa. Ia bukan sekadar bulan biasa, tetapi bulan yang penuh dengan ganjaran dan rahmat daripada Allah SWT.


Kemudian, Nabi SAW juga menyebut bahawa di bulan Ramadan ini, diwajibkan berpuasa. Tuan-tuan sekalian, ibadah puasa ini bukanlah ibadah kecil. Ia adalah satu amalan yang sangat besar. Sampai pada satu ketika, Nabi SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA untuk menggambarkan kehebatan puasa ini. Selepas kita mendengar hadis ini, sepatutnya hati kita semakin bersemangat untuk berpuasa, bukan sekadar menghitung hari menunggu raya. Kita harus menggenggam erat ibadah ini dan menghargainya sepenuh jiwa. Nabi SAW bersabda:


"Semua amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri. Solatnya, hajinya, dan zakatnya, semuanya untuk dirinya sendiri. Kecuali ibadah puasa. Sesungguhnya, puasa itu adalah untuk Aku (Allah), dan Aku sendiri yang akan membalasnya."— HR. Bukhari no.1904


Hadis ini menggambarkan keistimewaan puasa berbanding ibadah lain. Kebanyakan amalan mempunyai ganjaran yang jelas dan ditetapkan pahalanya. Namun, puasa diberikan kedudukan yang berbeza, di mana Allah SWT sendiri menjanjikan balasannya dengan cara yang hanya Dia ketahui.



Siri 2: Bahagian Akhir

Tuan-tuan sekalian dan sidang pendengar,mari kita dengar satu hadiah. Berita gembira untuk orang beriman. Dan saya harap apabila saya bacakan terjemahan hadis ini, tuan-tuan dan puan-puan merasakan bahawa ini untuk kita sebenarnya. Dan kita pulang dari sini nanti dengan senyuman kerana memikirkan bahawa kita ada peluang untuk masuk ke syurga Allah. Dari Abu Hurairah Nabi SAW bersabda;


"Hari Kiamat bagi orang Mukmin adalah seperti waktu antara Zohor dan Asar"— Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan dinilai sahih oleh Syeikh Albani dalam Sahih al-Jami' no.8193 


Moga kita termasuk dalam kelompok tersebut. Untuk lebih jelas, terdapat sebuah lagi hadis yang kerap kita dengar, iaitu tentang tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah dalam naungan-Nya pada hari yang tiada naungan selain daripada naungan-Nya. Antaranya ialah seorang lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid.


Kita harus berusaha menjadi sebahagian daripada kelompok itu. Bagi seorang isteri, suaminya juga harus berada dalam kelompok tersebut kerana apabila seorang suami menjadi sebahagian daripadanya, secara automatik isteri akan turut serta. Beruntunglah anak-anak kita apabila mereka tergolong dalam golongan itu—mereka yang apabila mendengar azan, segera menuju ke masjid dan meninggalkan pekerjaan mereka.


Waktu Maghrib pada bulan Ramadan sering menjadi cabaran kerana kita sedang berbuka puasa. Namun, sangat rugi jika kita tidak berjemaah. Tiada masalah untuk berbuka di rumah, tetapi pastikan kita tetap berusaha menghadiri solat di masjid.


Sebagai contoh, pada waktu Subuh, ketika kita berada dalam keadaan selesa di bilik tidur, tiba-tiba terdengar suara bilal melaungkan azan. Pada saat itu, hati kita mempunyai dua pilihan—sama ada untuk menyambung tidur atau bangun menuju ke masjid dengan penuh rasa rindu.


Bagi mereka yang istiqamah melakukannya sepanjang bulan Ramadan, insya-Allah amalan ini akan menjadi kebiasaan selepas Ramadan. Apabila ia telah menjadi rutin, ke mana sahaja kita pergi, hati kita akan sentiasa teringat untuk menunaikan solat di masjid. Golongan seperti inilah yang akan dinaungi oleh Allah di Padang Mahsyar dan menjadi insan istimewa yang dijanjikan syurga oleh-Nya.


Apa pelan tindakan kita sekarang?

Mari kita rumuskan kepentingan Ramadan, puasa, dan peranan masjid:


Makmurkan Masjid sepanjang bulan Ramadan dengan mengerjakan solat fardu lima waktu secara berjemaah di masjid.


 Banyakkan Masa Membaca Al-Quran di Masjid 
Luangkan lebih banyak masa membaca Al-Quran di masjid, sama ada dalam bentuk tadarus atau tadabur. Di masjid, kita tidak mudah jemu atau tergoda dengan gangguan di rumah. Selain itu, kehadiran rakan-rakan yang turut serta membaca memudahkan kita untuk menghabiskan satu juzuk. 

 Memburu Lailatulqadar 
Sepuluh malam terakhir Ramadan adalah waktu terbaik untuk memburu Lailatulqadar. Oleh itu, perbanyakkan masa untuk beribadah, seperti beriktikaf dan menghabiskan lebih banyak masa dan keberadaan kita di dalam masjid. 

  Jangan Tinggalkan Ibadah Solat Sunat
Selain solat fardu, jangan abaikan solat sunat seperti Qabliyah, Ba'diyah, solat sunat rawatib, serta solat sunat khusus Ramadan seperti tarawih. Amalkan secara berterusan agar ibadah menjadi lebih sempurna. 

Kesimpulannya, jika keempat-empat perkara ini diamalkan, maka peranan masjid dan Ramadan akan menjadi lebih erat serta tidak terpisah dalam kehidupan kita.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama