
7 Mac 2025 — Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Khas "One Off" kepada surau-surau kariah Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ) telah berlangsung di laman MTTJ serentak dengan majlis iftar jama'ie MTTJ pada petang ini.
Majlis bermula pada jam 6.30 petang dengan kehadiran ahli kariah serta para jemputan, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengacara Majlis, En. Zulkanain Hashim yang juga Setiausaha MTTJ.
Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail, yang mengalu-alukan kehadiran jemaah dan wakil-wakil surau yang terlibat. Dalam ucapannya, Dr. Abdullah menjelaskan bahawa sumbangan khas ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan pihak masjid untuk menyokong aktiviti surau-surau dalam kariahnya. Beliau menegaskan bahawa sumbangan ini mencerminkan hubungan erat antara masjid sebagai induk dengan surau-surau di bawahnya. Dr. Abdullah juga berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan pengimarahan surau, sekaligus menarik lebih ramai ahli kariah menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau, dan bukannya bersolat di rumah.
Penyampaian sumbangan kepada wakil-wakil surau berlangsung pada jam 7.10 petang. Surau-surau yang menerima sumbangan pada petang ini ialah;
Surau Pinggiran Damai
Surau Temerloh Makmur (Al-Makmur)
Surau Kuaters Polis
Surau Temerloh Jaya Indah (Al-Mukhlisin)
Surau Kg. Tualang Hulu
Surau Kg. Tualang Hilir
Sumbangan wang tunai RM1,000 untuk setiap surau disampaikan sendiri oleh Dr. Abdullah Ismail, dengan diiringi oleh Tuan Haji Hassan Samadi, selaku Bendahari masjid.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam II MTTJ, Imam Haji Hussin Mohamed, sebelum para hadirin menikmati juadah berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.



















Catat Ulasan