
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
22/03/2025 | Ustaz Haji Alwi Muda | — |
Syukur kepada Allah kerana dengan kasih sayang-Nya, Dia telah memilih kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang ramai untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak. Saat ini, kita berada di tempat yang terbaik, iaitu rumah Allah, dalam majlis yang terbaik, iaitu majlis ilmu, dan dalam bulan yang terbaik, iaitu bulan Ramadan.
Allah telah memilih kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya untuk menerima anugerah yang paling berharga, suatu kurniaan yang hanya diberikan kepada mereka yang dikehendaki-Nya.
Kita kini telah memasuki 10 malam terakhir Ramadan, saat yang paling kritikal untuk mendapatkan keampunan, keredhaan, dan maghfirah daripada Allah. Hamba-hamba Allah yang soleh tidak lagi memikirkan juadah berbuka atau sahur, apatah lagi persiapan menyambut Aidilfitri. Sebaliknya, mereka lebih memikirkan bagaimana hubungan mereka dengan Ramadan tahun ini—adakah ia lebih baik daripada sebelumnya?
Sama ada kita sedar atau tidak, Ramadan membawa bersamanya peluang yang tidak terdapat pada bulan lain. Orang-orang beriman yang benar-benar memahami kelebihan bulan ini akan berusaha merebut segala kemuliaan dan keberkatan yang dikurniakan oleh Allah. Namun, sebahagian orang hanya mengingati perkara-perkara kecil seperti menu berbuka, sedangkan Bilal mengingatkan kita tentang sesuatu yang jauh lebih besar dan bermakna.
Ramadan juga satu-satunya bulan yang dikurniakan solat sunat Tarawih, suatu ibadah yang tidak terdapat pada bulan lain. Kerana itulah, orang-orang soleh dahulu sentiasa menanti kedatangan Ramadan dan menangisi pemergiannya. Mereka berfikir, "Adakah Ramadan kali ini menjadikan aku seorang yang lebih bertakwa kepada Allah?"
Selain itu, Ramadan juga membawa bersamanya malam Lailatulqadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Walaupun seseorang berjaga malam sepanjang tahun, ia tidak akan sama dengan keistimewaan yang ada dalam satu malam ini. Namun, dalam beberapa hari sahaja lagi, Ramadan akan pergi meninggalkan kita.
Ramadan juga hadir bersama kemuliaan Al-Quran, yang keutamaannya tidak terdapat pada bulan lain. Kerana itulah, para ulama dan orang-orang soleh terdahulu sentiasa menunggu Ramadan sejak enam bulan sebelumnya, sebagaimana disebutkan dalam Kitab Lata’if al-Ma‘arif oleh Ibn Rajab al-Hanbali.
KISAH SAHABAT TAHLAH BIN UBAIDILLAH DAN BULAN RAMADAN
Thalhah bin 'Ubaidillah adalah seorang sahabat Nabi SAW dari kalangan Muhajirin. Beliau diseksa kerana keislamannya, namun dijanjikan syurga oleh Allah SWT sewaktu masih hidup lagi.
Thalhah bin 'Ubaidillah berkata bahawa dua orang lelaki dari suku Baliy datang menemui Nabi SAW dan memeluk Islam. Salah seorang daripada mereka lebih bersemangat dalam berjihad berbanding yang seorang lagi, kemudian dia pergi berperang sehingga gugur sebagai syahid. Manakala yang seorang lagi masih hidup selama setahun selepasnya, kemudian dia meninggal dunia.
Thalhah berkata, "Kemudian aku bermimpi seolah-olah aku berada di pintu syurga. Tiba-tiba aku berada di sisi kedua lelaki tersebut, lalu malaikat keluar dari syurga. Malaikat itu mengizinkan lelaki yang meninggal dunia kemudian untuk memasukinya terlebih dahulu, kemudian keluar lagi dan mempersilakan lelaki yang mati syahid. Setelah itu, malaikat kembali kepadaku dan berkata, 'Kembalilah kamu, kerana belum tiba masanya untukmu.'”
Keesokan harinya, Thalhah menceritakan mimpinya kepada orang ramai, dan mereka berasa hairan. Mereka kemudian menyampaikan kisah itu kepada Nabi SAW dan menceritakan peristiwa tersebut. Maka Baginda bersabda, "Perkara apa yang membuat kalian hairan?"
Mereka menjawab, "Wahai Rasulullah, lelaki yang pertama meninggal itu adalah yang paling bersemangat dalam berjihad berbanding yang lain, dan dia mati syahid. Tetapi mengapa lelaki yang meninggal kemudian dimasukkan ke dalam syurga terlebih dahulu?"
Nabi SAW bersabda, "Bukankah lelaki ini hidup setahun selepasnya?" Mereka menjawab, "Ya." Baginda bersabda lagi, "Bukankah dia telah menemui bulan Ramadan dan berpuasa? Dia juga telah mengerjakan solat ini dan itu, serta melakukan beberapa sujud dalam setahun?" Mereka menjawab, "Ya."
Lalu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Sesungguhnya, perbezaan antara keduanya (dalam kebaikan) sangatlah jauh, bagaikan antara langit dan bumi."— HR. Ibnu Majah no.3915 (Shahih)
Kelebihan Ramadan telah dianugerahkan kepada kita. Namun, persoalannya—adakah kita telah berusaha meraih dan mencari kelebihan itu? Adakah kita telah mendapat manfaatnya sebelum ia pergi meninggalkan kita bersama penghujung Ramadan tahun ini?
Dalam baki masa yang tinggal, kurang daripada 10 hari sebelum Ramadan berlalu, marilah kita merebut segala kelebihan yang masih ada. Antara kelebihan terbesar yang boleh kita capai ialah ketakwaan kepada Allah.
Untuk mencapai ketakwaan, kita mesti memperbanyakkan amal ibadah yang dianjurkan dalam Ramadan, antaranya:
T – Tarawih
Untuk mendapatkan ketakwaan kitahendaklah mendirikan tarawih dengan peniuh keimanan dan mengharapkan balasan dari Allah SWT.
AQ – Al-Quran
Menghidupkan Ramadan dengan membaca, mentadabbur, dan memahami Al-Quran. Maka, jadikanlah Al-Quran sebagai panduan hidup, dan bukan hanya bacaan sementara dalam Ramadan.
WA – Wirid Akbar
Memperbanyakkan wirid yang ma’thur, iaitu zikir dan doa yang diajarkan oleh Nabi SAW, seperti yang terkandung dalam Kitab al-Adzkar susunan Imam An-Nawawi) dan Al-Ma’thurat oleh Imam Hasan al-Banna. Hidupkan malam dengan zikir kepada Allah.
Cabaran Akhir Ramadan
Menjelang 10 malam terakhir, cabaran semakin besar—seperti pulang ke kampung, dan kesibukan persiapan menyambut hari raya. Hal ini kadangkala menyebabkan kita terleka, hingga terlepas solat Tarawih.
Jangan biarkan ujian ini melalaikan kita. Hadapilah dengan keimanan dan harapkan pertolongan serta ganjaran daripada Allah.





















Catat Ulasan