
Tarikh | Penceramah | Tajuk |
---|---|---|
15/03/2025 | Ustaz Mohd Firdaus Mohd Azmy | — |
Kerugian orang berpuasa
Terdapat beberapa kerugian di bulan Ramadan yang sering berlaku kepada kita tanpa disedari. Antaranya ialah sikap melambatkan solat Maghrib selepas berbuka puasa di masjid. Sedangkan, solat fardu adalah amalan utama yang menjadi perkara pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Oleh itu, solat Maghrib seharusnya didirikan segera kerana ia amalan fardu yang utama.
Selain itu, solat bersendirian juga merupakan satu kerugian besar. Berjemaah dalam solat memberikan kelebihan dari segi ganjaran pahala yang berlipat ganda berbanding solat sendirian. Oleh itu, meninggalkan solat berjemaah adalah suatu kerugian yang sepatutnya dielakkan.
Satu lagi kerugian ialah tidak melakukan solat sunat selepas solat Isyak. Waktu ini boleh dimanfaatkan dengan menunaikan solat sunat ba‘diyah, sebagaimana yang dianjurkan dalam hadis Rasulullah SAW. Baginda bersabda:
"Sesiapa yang melazimi amalan solat sunat sebanyak 12 rakaat ini, Allah akan membinakan sebuah rumah di dalam syurga untuk dirinya. 4 rakaat sebelum Zohor, 2 rakaat selepas Zohor, 2 rakaat selepas Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat sebelum Subuh."— (HR. Nasa’i no.1471, Tirmidzi no. 414, Ibnu Majah no.1140)
Kita tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada solat Tarawih yang bakal dilakukan selepas itu, sedangkan solat sunat selepas Isyak juga merupakan solat sunat yang mempunyai ganjaran besar.
Selain itu, berborak kosong ketika berbuka puasa juga merupakan satu kerugian. Waktu berbuka adalah antara waktu mustajab untuk berdoa, maka ia sepatutnya dimanfaatkan untuk memohon kepada Allah SWT.
Nuzul Quran
Nuzul bermaksud turun, iaitu turun dari tempat tinggi ke tempat rendah—ia tidak membawa maksud Al-Quran itu berada di atas, sebaliknya sebagai satu simbolik bagi menggambarkan ketinggian kemuliaan Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT, dan bukan dari perkataan atau rekaan manusia.
Keistimewaan Al-Quran (HR. Thabarani)
Suhuf Nabi Ibrahim turun pada malam Ramadan
Kitab Taurat turun pada 6 Ramadan
Kitab Zabur turun pada 12 ramadan
Kitab Injil turun pada 13 ramadan
Kitab Al-Quran turun pada 24 Ramadan
Wahyu diturunkan kepada para Nabi SAW melalui beberapa cara;
Jibril AS adalah malaikat yang diutus oleh Allah SWT untuk menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad SAW. Terdapat beberapa cara Jibril menzahirkan dirinya ketika menyampaikan wahyu atau bertemu dengan Rasulullah SAW.
Salah satu cara Jibril menzahirkan dirinya adalah dalam bentuk asalnya sebagai malaikat. Ini berlaku beberapa kali, antaranya ketika wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Gua Hira’ dan dalam peristiwa Isra’ dan Mi‘raj.
Selain itu, Jibril juga pernah menyerupai seorang sahabat Nabi yang dikenali sebagai Dihyah al-Kalbi.
Jibril juga pernah menampakkan dirinya dalam bentuk manusia yang tidak dikenali. Contohnya, dalam satu peristiwa yang diriwayatkan dalam Hadis Jibril. Dalam pertemuan itu, Jibril bertanya tentang Islam, iman, ihsan, dan tanda-tanda kiamat, yang akhirnya menjadi satu bentuk pengajaran kepada para sahabat tentang asas agama Islam.
Selain menzahirkan diri dalam bentuk fizikal, Jibril juga menyampaikan wahyu dalam bentuk suara loceng. Bentuk ini dikatakan sebagai cara yang paling berat bagi Nabi Muhammad SAW, di mana baginda akan berpeluh kerana beratnya wahyu yang diterima.
Zaid bin Thabit, meriwayatkan bahawa;
“Aku duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba paha baginda berada di atas pahaku. Kemudian wahyu turun kepada baginda. Demi Allah, aku tidak pernah merasakan sesuatu yang lebih berat daripada paha Rasulullah SAW ketika wahyu sedang turun. Hampir saja kakiku patah.”— HR. Ahmad no.21681
Allah berfirman;
"Sekiranya Kami turunkan Al-Qur'an ini ke atas sebuah gunung, pasti engkau akan melihatnya tunduk dan pecah berkecai kerana takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami berikan kepada manusia agar mereka berfikir."— QS Al-Hashr 59:21
Kita seharusnya mengambil iktibar bahawa gunung yang kukuh dan teguh pun tunduk serta retak kerana takut kepada Allah, sebagaimana disebut dalam Al-Qur’an. Namun, berbeza dengan manusia yang membaca Al-Qur’an tanpa rasa takut. Lebih-lebih lagi apabila membaca melalui telefon, di mana pelbagai gangguan seperti notifikasi, media sosial, dan sebagainya yang boleh mengalihkan perhatian daripada merenungi ayat-ayat Allah. Kerana itu digalakkan kita membaca Al-Quran menggunakan mushaf yang sebenar.
Pernah berlaku suatu ketika di mana Jibril tidak datang menyampaikan wahyu untuk beberapa waktu. Dalam tempoh ini, Nabi Muhammad SAW merasa sedih.
Dalam keadaan itu, seorang wanita Quraisy datang mengejek Baginda dengan kata-kata sinis:
"Wahai Muhammad, nampaknya syaitanmu telah meninggalkanmu!"
Ejekan ini semakin menambahkan kesedihan dan dukacita di hati Baginda. Namun, di saat kegelisahan itu memuncak, Allah menurunkan Surah Ad-Duha, sebagai bukti bahawa Allah tidak pernah meninggalkan Rasul-Nya.
Peristiwa ini boleh dijadikan pengajaran buat kita semua. Jika Nabi SAW merasa sedih hanya kerana wahyu terhenti seketika, bagaimana pula dengan kita? Sudah berapa lama kita tidak membaca Al-Qur’an?.























Catat Ulasan