Kuliah Subuh 23 Mac 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
23/03/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

Syukur kepada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk terus melaksanakan tanggungjawab kepada-Nya. Semoga seluruh amal soleh diterima oleh Allah.


Surah Maryam: 51-53

"Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Musa; sesungguhnya dia adalah orang pilihan dan dia seorang Rasul lagi Nabi." (Maryam: 51)


"Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung Tursina dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan berkata-kata dengan Kami." (Maryam: 52)


"Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya Harun, yang juga berpangkat Nabi." (Maryam: 53)


Ketiga-tiga ayat ini menceritakan kisah ringkas tentang perlantikan Nabi Musa sebagai Rasul. Kemudiannya, Nabi Harun juga dilantik sebagai Nabi dan Rasul untuk membantu Nabi Musa.




Keistimewaan Nabi Musa dan Nabi Harun


Nabi Musa merupakan seorang yang ikhlas, seorang Rasul, dan seorang Nabi. Perlu difahami bahawa semua Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi adalah Rasul.


Rasul diutuskan dengan ajaran atau ibadat khusus serta syariat baru. Mereka diwajibkan untuk menyampaikan wahyu kepada umat manusia.


Berbeza dengan Nabi, mereka menerima wahyu tetapi tidak membawa syariat baru. Sebaliknya, mereka hanya meneruskan syariat Nabi terdahulu, dan mereka tidak diwajibkan untuk menyampaikan wahyu tersebut kepada umat.


Terdapat khilaf mengenai bilangan Nabi, namun telah disepakati bahawa terdapat 25 Nabi yang disebutkan di dalam Al-Quran.


Nabi Musa dilantik menjadi Rasul di Bukit Tursina. Baginda mempunyai keistimewaan untuk berkata-kata secara langsung dengan Allah. Namun, para ulama berbeza pendapat tentang bagaimana perkara itu berlaku.


Allah juga melantik Nabi Harun, abang kepada Nabi Musa, sebagai Rasul atas doa Nabi Musa sendiri. Baginda ditugaskan untuk membantu Nabi Musa dalam berdakwah kepada Firaun, seorang manusia yang sangat kejam pada zamannya.




Keikhlasan


Para Nabi mempunyai sifat-sifat terpuji, antaranya ialah ikhlas, iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah SWT.


Ibnu Kathir menghuraikan bahawa ikhlas bermaksud seseorang yang beramal kerana Allah dan tidak mengharapkan pujian manusia.


Imam Nawawi pula menyatakan bahawa ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata untuk mendapatkan reda Allah, tanpa terkesan dengan pujian atau celaan manusia.


Apa yang lebih penting ialah kasih sayang dan reda Allah, bukan pujian atau cacian manusia. Sudah menjadi lumrah manusia untuk mengharapkan pujian, namun orang yang baik hanya mementingkan reda Allah SWT semata-mata.




Iktikaf


Pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, Nabi Muhammad SAW akan beriktikaf di masjid.


Di sebahagian negara Arab pada hari ini, masih terdapat budaya iktikaf, di mana mereka mengambil cuti pada 10 hari terakhir Ramadan untuk melaksanakan ibadah iktikaf di masjid.


Iktikaf merupakan amalan yang mudah. Seseorang yang masuk dan duduk di dalam masjid dengan niat iktikaf sudah dikira mendapat pahala. Jika dia beribadah seperti membaca Al-Quran, maka pahala yang diperoleh akan bertambah lebih banyak.


Ibadah khusus seperti iktikaf sangat penting kerana ia mendidik keikhlasan dan menguatkan keinginan untuk memperoleh pahala daripada Allah SWT.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama