Kuliah Maghrib 20 April 2025, Ustaz Dr. Hasbullah Mohamad

Tarikh Penceramah Tajuk
20/04/2025 Ustaz Dr. Hasbullah Mohamad

Nota Kuliah

Mukaddimah

Pentingnya bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kita baharu sahaja melalui bulan Ramadan, bulan yang penuh, di mana ganjaran amalan kebajikan dilipatgandakan lebih daripada biasa, bahkan melebihi amalan-amalan sepanjang hayat jika dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. 

 

Menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah seperti qiamullail, solat tarawih, membaca al-Qur'an dan berzikir adalah antara tanda orang yang mencintai akhirat. Amalan ini perlu diteruskan selepas Ramadan melalui puasa enam Syawal, bacaan al-Qur'an secara konsisten dan menjaga amalan harian seperti solat dan zikir. 

 

Kita mestilah terus istiqamah dalam beribadah walaupun Ramadan telah berlalu. Istiqamah bermaksud terus teguh dalam keimanan dan amal soleh sehingga akhir hayat. Ini adalah ciri orang beriman yang sejati. Akhir sekali, diingatkan agar kita menghadapi kematian dalam keadaan beriman.

 

MERATAPI MAYAT / KEMATIAN

Larangan Meratapi Si Mati dalam Islam

Dalam Islam, kematian bukanlah penamat segala-galanya, sebaliknya ia merupakan satu persimpangan atau transit menuju kehidupan yang kekal abadi di akhirat. Oleh kerana itu, setiap insan perlu mempersiapkan diri dengan bekalan berupa amalan soleh untuk menghadapi kehidupan selepas mati. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Kahfi ayat 110 yang bermaksud: “Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya.”


Mati dalam keadaan husnul khatimah merupakan impian setiap insan beriman. Ini bermaksud meninggal dunia dalam keadaan beriman dan istiqamah dalam melakukan amal soleh. Dalam Surah Fussilat ayat 30, Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan itu, akan turunlah malaikat kepada mereka: ‘Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan masuk syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’”


Apabila seseorang meninggal dunia, Islam mengajarkan agar kita menyambutnya dengan lafaz istirja’, iaitu ucapan: “Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un” yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami akan kembali.” Ini mencerminkan keredhaan dan penyerahan diri kepada takdir Ilahi.


Namun demikian, Islam melarang umatnya daripada meratapi kematian dengan cara yang berlebihan. Perbuatan meratap seperti menangis dengan suara yang kuat, meraung, menyoyak baju, menampar pipi, memukul badan atau menarik rambut adalah dilarang keras. Larangan ini berpandukan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dua perkara pada manusia yang kufur: mencela keturunan seseorang dan meratap mayat.” (Hadis Riwayat Muslim)


Walau bagaimanapun, Islam tidak melarang perasaan sedih yang dizahirkan melalui linangan air mata. Bahkan Nabi SAW sendiri pernah menangis ketika kematian anakandanya, Ibrahim. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Baginda SAW mengalirkan air mata sebagai tanda kasih sayang, tanpa disertai raungan atau jeritan. Baginda bersabda: “Bukanlah di kalangan kami orang yang menampar pipi, menyoyak baju dan menjerang dengan jeritan jahiliah.” (HR al-Bukhari & Muslim)


Lebih mendalam lagi, dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya mayat diseksa dengan tangisan keluarganya terhadapnya.” (HR al-Bukhari & Muslim). Menurut penjelasan Imam al-Nawawi, maksud hadis ini adalah jika si mati semasa hidupnya telah mengajarkan keluarganya untuk meratap, maka tangisan itu menjadi beban kepadanya.


Islam menggariskan adab yang mulia terhadap si mati. Kita dituntut untuk berkata baik mengenai si mati dan tidak mencela mereka. Begitu juga dengan menyebut kebaikan si mati dengan perkara yang kita ketahui sahaja, seperti ramainya jemaah yang mengiringi.

 

Amalan Orang Yang Masih Hidup Kepada Si Mati

Antara amalan yang boleh dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada si mati ialah berdoa dan beristighfar, mengkafankan dan mengerjakan solat jenazah, serta menziarahi kubur. Disunatkan juga untuk memberi salam dan mendoakan agar si mati mendapat rahmat, keampunan dan taufik (kekuatan). Membaca al-Qur’an untuk dihadiahkan kepada si mati juga digalakkan, dan hendaklah dijauhi segala bentuk amalan khurafat dan bid‘ah.

 

Adab Menerima Kematian

Antara adab menerima kematian ialah mengucapkan lafaz istirja’ (Inna lillahi wa inna ilayhi raji’un) dan menyampaikan ucapan takziah seperti, “Sesungguhnya Allah menggandakan pahala dan kesabaranmu serta memberi petunjuk dengan pengganti yang lebih baik.” Seterusnya, si mati hendaklah dikafankan dengan sempurna, disolatkan jenazahnya serta didoakan keampunan dan rahmat buatnya. Adab ini juga merangkumi mengiringi jenazah ke kubur.

 

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama