Bakal Jemaah Haji Khariah MTTJ Dirai Dalam Majlis Semarak Kasih Menyambut Bakal Duyufurrahman


22 April 2025
– Bertempat di Dewan Solat Utama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Taman Temerloh Jaya pada malam ini, telah berlangsung Program Semarak Kasih Menyambut Bakal Duyufurrahman, yang dianjurkan bagi meraikan seramai 41 bakal jemaah haji dari kalangan ahli kariah MTTJ bagi musim haji tahun ini.


Majlis yang berlangsung sejurus selepas solat Maghrib dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengacara majlis, En. Safari Harun, dan diteruskan dengan bacaan doa oleh Imam Haji Husin Mohamed.


Seterusnya, Imam I MTTJ, Ustaz Haji Asri Awang telah dijemput untuk menyampaikan taklimat. Beliau mendoakan agar semua bakal haji dikurniakan kesihatan yang baik dan membuat persiapan yang sempurna. Beliau menekankan bahawa ibadah haji ini mungkin adalah peluang sekali seumur hidup yang dianugerahkan oleh Allah SWT, justeru para jemaah diseru agar mengulangkaji ilmu dan memahami panduan berkaitan ibadah tersebut.


Beliau turut mendoakan agar perjalanan para jemaah dipermudahkan dan menggalakkan agar amalan yang dilakukan di Masjidil Haram, terutamanya solat berjemaah, dapat diteruskan selepas pulang ke tanah air nanti. Taklimat beliau turut merangkumi panduan penting sebagai persediaan rohani dan jasmani sepanjang berada di tanah suci.


Para hadirin kemudiannya dipersembahkan dengan tayangan video khas yang memaparkan profil para bakal jemaah haji.


Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi MTTJ, Dr. Haji Abdullah Ismail. Dalam ucapannya, beliau meluahkan rasa syukur dan kegembiraan kerana berpeluang mengiringi serta mendoakan para ahli kariah yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT. Menurut beliau, amat beruntunglah mereka yang diberi kesempatan menunaikan haji kerana dapat berada di tempat yang mulia dalam tempoh yang panjang.


Beliau turut berharap agar para jemaah mendoakan ahli kariah yang masih belum berkesempatan agar suatu hari nanti turut dikurniakan peluang untuk menjadi tetamu Allah. Ucapan beliau diakhiri dengan sebuah hadis Rasulullah SAW:


"Dan haji yang mabrur tiada balasan yang layak baginya melainkan syurga."

 

Majlis diteruskan dengan solat Isyak berjemaah bersama ahli kariah. Usai solat, para peserta yang dirai dijemput menikmati jamuan istimewa yang disediakan oleh pihak masjid sebagai tanda penghargaan dan meraikan para bakal jemaah haji.


Seterusnya sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan mengambil tempat sebelum majlis melabuhkan tirainya sekitar jam 10.00 malam.


Pihak pengurusan masjid merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada para bakal jemaah yang diraikan, barisan Ahli Jawatankuasa serta semua petugas masjid yang telah bersama-sama menjayakan program pada malam ini.



Gambar beresolusi tinggi, sila tunggu sehingga ia selesai dimuatkan.


Gambar beresolusi tinggi, sila tunggu sehingga ia selesai dimuatkan.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama