Sambutan Luar Biasa Majlis Jamuan Aidilfitri Masjid Temerloh Jaya 1446h



10 April 2025 — Suasana di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (MTTJ), Taman Temerloh Jaya, pada malam ini meriah dengan kehadiran lebih 1,500 ahli kariah sempena Majlis Jamuan Aidilfitri anjuran pihak masjid.


Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Yasin dan tahlil. Seterusnya, Timbalan Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya (MTTJ), Dato' Zainal Abidin Md Amin, yang mewakili Pengerusi masjid, telah menyampaikan ucapan alu-aluan.


Dalam ucapannya, beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para jemaah yang sentiasa komited hadir berjemaah di masjid serta aktif melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penaja yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan demi pengimarahan dan pembangunan aktiviti masjid. Menurutnya lagi, majlis pada malam ini juga merupakan satu bentuk penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendukung usaha pihak masjid dalam memakmurkan institusi ini.


Sewaktu majlis jamuan di perkarangan MTTJ, Dr. Abdullah Ismail, Pengerusi Masjid Taman Temerloh Jaya, dalam ucapan menyatakan hasrat menjadikan Masjid Temerloh Jaya sebagai pusat komuniti bagi masyarakat setempat. Beliau turut menyentuh kejayaan program Ramadan seperti iftar dan qiyamullail yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk taman dan masyarakat luar.


Sementara itu, menurut Bendahari Masjid, Tuan Haji Hassan Samadi, lebih RM20,000 telah diperuntukkan pada tahun ini bagi menjayakan jamuan pada malam ini. Peruntukan tersebut turut merangkumi pemberian duit raya kepada anak-anak kariah MTTJ yang berusia di bawah 12 tahun.


Majlis pada malam ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu-tetamu undangan daripada kalangan syarikat-syarikat penaja, jabatan-jabatan kerajaan, wakil-wakil surau di bawah naungan MTTJ, serta para VIP yang terdiri daripada pemimpin setempat, iaitu YB Puan Hajah Salamiah binti Haji Mohd Nor, Ahli Parlimen Temerloh; YB Tuan Haji Hassanuddin Salim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan; dan YB Tuan Woo Chee Wan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab.


Majlis pada malam ini berakhir sekitar jam 10.15 malam.


Pihak pengurusan masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua AJK, AJK kecil, petugas dan semua pihak terlibat yang bertungkus lumus menjayakan majlis pada malam ini.




Untuk gambar penuh sila klik link d bawah


Gambar beresolusi tinggi, sila tunggu sehingga ia selesai dimuatkan.

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama