Kuliah Subuh 20 April 2025, Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Tarikh Penceramah Tajuk
20/04/2025 Ustaz Hairulazam Abd Rahman

Nota Kuliah

 Surah Maryam, ayat 59


"Kemudian datanglah sesudah mereka, keturunan (yang menyia-nyiakan solat dan memperturutkan hawa nafsu), maka mereka kelak akan menemui kesesatan,"— (Surah Maryam: 59)


Ayat ini merujuk kepada generasi selepas para nabi dan orang soleh, yang mula meninggalkan solat (samada melalaikannya atau tidak melaksanakannya langsung) dan menurut hawa nafsu. Kesannya, mereka akan menerima balasan yang buruk, iaitu masuk ke dalam kesesatan.


Pada zaman ini, umat Islam sedang diuji dengan pelbagai bentuk kelemahan. Dalam sejarah, selepas lahirnya generasi yang hebat, akan muncul pula generasi yang lemah. Perkara ini turut berlaku dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW.


Rasulullah SAW bersabda;

Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku, kemudian yang mengikutinya, kemudian yang mengikutinya.HR. Bukhari no. 2652, Muslim no. 2533.


Tiga generasi awal ini – yang dikenali sebagai salaf – termasuk dalam 300 tahun pertama umat Islam, dan mereka telah dianugerahkan kekuatan dalam akidah, ibadah dan perjuangan.


Namun begitu, kita masih bersyukur kerana pada hari ini, masih wujud satu kumpulan yang terus mempertahankan ajaran Islam. Sebagai contoh, meskipun keadaan masjid kelihatan lemah dan tidak diimarahkan, tetap akan ada individu yang memakmurkan rumah Allah walaupun hanya seorang dua. 


Punca Kelemahan Umat

Antara punca utama kelemahan umat Islam ialah sikap cuai dalam menunaikan solat. Menurut tafsiran ulama, kecuaian ini bukan sekadar meninggalkan solat, tetapi juga menunaikannya tanpa kesempurnaan sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW dan para sahabat.


Apabila manusia mula cuai terhadap solat, mereka akan cenderung mengikut hawa nafsu. Kerosakan besar dalam masyarakat juga berpunca daripada kecuaian dalam menjaga solat. Walaupun terdapat pelbagai tafsiran ulama terhadap ayat-ayat berkenaan solat, kesimpulannya ialah solat wajib didirikan sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dan para sahabat.


Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang dua orang lelaki yang tidak solat berjemaah bersama Nabi SAW. Apabila Nabi menegur mereka, mereka menjawab bahawa mereka sudah menunaikan solat. Hadis ini menunjukkan betapa besarnya ibadah solat berjemaah dan terdapat adab-adab yang perlu dijaga dalam pelaksanaannya.


Ibnu Mas‘ud RA pernah berkata:

"Sesungguhnya Nabi SAW telah meninggalkan kepada kita sunnah-sunnah yang memberi petunjuk. Antaranya ialah solat berjemaah di tempat yang dilaungkan azan. Sekiranya kamu meninggalkan sunnah ini, nescaya kamu akan sesat. Di zaman kami, hanya golongan munafik sahaja yang meninggalkan solat berjemaah."



Akibat Meninggalkan Solat

Allah SWT juga menyebut bahawa akan datang suatu generasi yang tidak baik selepas generasi yang baik, kerana mereka cuai dalam solat. Apabila seseorang cuai dalam menunaikan solat, dia akan mudah mengikut hawa nafsu dan terjerumus ke dalam lembah kebinasaan. Maka, apa sahaja kerosakan dan masalah dalam masyarakat berpunca daripada kegagalan mengawal hawa nafsu.


Tanggungjawab Individu

Peranan besar dalam membina umat ini terletak pada diri sendiri. Saidina Umar al-Khattab RA pernah berkata: "Kamu adalah benteng daripada benteng-benteng Islam. Maka jagalah diri kamu. Sekiranya kamu lemah, maka lemahlah benteng Islam itu."

Oleh itu, pastikan sumbangan kita adalah untuk membina Islam, bukan meruntuhkannya.

Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama