Kuliah Maghrib 18 April 2025, Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Ali

Tarikh Penceramah Tajuk
18/04/2025 Ustaz Mohd Hanafiah Mohd Ali

Nota Kuliah

Di dalam Kitab Keperibadian Muslim (Muhammad Ali Hashimi) disebutkan bahawa seorang Muslim perlu melaksanakan beberapa tugas penting agar layak digelar sebagai Muslim sejati, bukan Muslim secara zahir sahaja.


Dalam kitab ini dinyatakan terdapat lapan tugas utama yang perlu dilakukan oleh seorang Muslim. Antaranya termasuklah tugas terhadap Allah SWT, terhadap diri sendiri, terhadap ibu bapa, dan terhadap isteri. Empat perkara ini telah dibincangkan dalam sesi-sesi terdahulu. Maka, dalam kuliah kali ini dan sesi-sesi berikutnya, kita akan melihat pula tugas seorang Muslim terhadap anak-anak.



Tugas Muslim Terhadap Anak-anak

Dalam buku ini, dinyatakan sembilan tugas utama seorang Muslim terhadap anak-anak. Malam ini, kita akan bincangkan beberapa daripadanya.


Mengelakkan anak-anak daripada azab neraka.

Ini adalah tugas paling utama. Ramai ibu bapa lebih menekankan kejayaan anak dalam kerjaya dan pendidikan dunia semata-mata, tetapi lupa untuk menyelamatkan mereka daripada neraka. Allah SWT telah berfirman dalam Surah At-Tahrim, ayat 6:


“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”— (Surah At-Tahrim: 6)


Neraka itu dijaga oleh malaikat yang keras dan tidak pernah menderhakai perintah Allah. Maka, tugas kita ialah memberi ilmu agama kepada anak-anak, supaya mereka terpelihara daripada neraka.


Membentuk anak-anak mengikut acuan Islam.

Membentuk akhlak, pemikiran dan penampilan mereka. Allah SWT telah mencipta kita sebagai manusia yang sempurna seperti ajaran Islam.


Mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.

Hantar ke tempat yang baik, pastikan mereka berada dalam persekitaran yang baik. Jika tidak mampu, didik sendiri atau pastikan orang yang mendidik mereka itu beragama dan berakhlak.


Menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak.

Jangan sampai mereka lebih menyayangi orang luar daripada ibu bapa sendiri. Jangan hanya marah bila mereka tak dengar cakap kita, sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan kasih sayang yang mencukupi.


Memenuhi keperluan anak-anak dengan baik.

Jangan kedekut dengan anak-anak, terutama dalam soal pendidikan dan kebajikan mereka. Ada ibu bapa yang sanggup berbelanja untuk perkara lain, tetapi berkira untuk keperluan anak-anak.


Tidak membezakan layanan antara anak lelaki dan perempuan.

Kedua-duanya adalah amanah Allah. Jangan terlalu menyayangi satu pihak dan mengabaikan yang lain. Semua anak perlu dilayan dengan adil dan kasih sayang yang seimbang.


Memerhati dan mengawasi gerak-geri anak-anak.

Perhatikan kelakuan, percakapan, dan pergaulan mereka. Jadilah seperti pengintip (spy) dalam erti kata yang positif — bukan untuk menyekat, tetapi untuk membimbing. Perhatikan dengan siapa anak-anak berkawan, periksa telefon bimbit mereka dan sebagainya.


Menyatukan anak-anak dengan kasih sayang.

Jangan wujudkan jurang atau permusuhan antara adik-beradik. Elakkan pilih kasih. Pastikan hubungan mereka sesama adik-beradik kekal baik dan saling menyayangi.


Menanamkan akhlak yang tinggi.

Tanamkan akhlak yang tinggi dalam diri anak-anak.

 

 



 

Anak-anak sebagai penyejuk hati dan sumber kebahagiaan

Kata Muhammad Ali al-Hashimi (pengarang), anak-anak merupakan penyejuk matapenyejuk jiwa, dan buah hati dalam kehidupan ini. Mereka jugalah yang menghiburkan dan menggembirakan kita — baik ketika kita masih muda mahupun apabila telah berumur.


Ketika anak-anak masih kecil, kita gembira melihat gelagat mereka. Apabila mereka telah berkahwin dan membina keluarga sendiri, kita tetap bahagia melihat kejayaan mereka. Maka, mereka adalah sumber kebahagiaan dan kekuatan bagi kita sebagai ibu bapa. Jika anak-anak tiada, kita rasa sunyi. Bila mereka jauh, hati terasa kosong.


Namun, anak-anak bukan hanya menyenangkan di dunia sahaja. Bahkan di alam kubur juga mereka boleh memberikan ketenangan dan rahmat jika mereka menjadi anak soleh. Ramai anak-anak yang menghias kubur ayah mereka dengan kemas, indah, dan rapi sebagai tanda kasih dan bakti. Mereka tidak lokek membelanjakan wang demi memperelokkan tempat persemadian ayah mereka.


Tetapi malangnya, ada juga anak-anak yang tidak peduli. Malah selepas kematian ibu bapa pun mereka tidak menjenguk. Mereka hanya menghias kubur, tetapi tidak membantu ibu bapa yang berada di alam barzakh.

 

Anak-anak sebagai saluran pahala dan rahmat

Anak-anak adalah punca kepada datangnya pelbagai rahmat Allah. Mereka menjadi sebab untuk kita memperoleh ganjaran yang berlipat kali ganda. Contohnya, apabila kita mengajar anak membaca al-Quran, mengenal huruf, atau berdoa, maka setiap huruf, setiap bacaan mereka akan menjadi pahala yang mengalir kepada kita.


Maka, anak-anak sebenarnya adalah gudang pahalasumber keberkatan, dan jalan rahmat. Namun, jika kita gagal mendidik mereka dengan betul, maka nikmat itu tidak akan diperoleh. Pahala yang sepatutnya berganda tidak tercapai kerana kelalaian kita sendiri.

 

 

Peranan pendidikan anak-anak dalam agama

Pendidikan anak-anak tidak boleh dipandang ringan. Dalam Keperibadian Muslim, dinyatakan bahawa apabila ibu bapa mengabaikan pendidikan anak-anak dan tidak memberikan arahan yang betul, maka anak-anak itu akan menjadi bencana dalam hidup mereka sendiri.


Anak-anak yang tidak dibimbing akan menjadi punca duka, susah hati, dan kesengsaraan kepada ibu bapa. Siang penat bekerja, malam tidak boleh tidur. Bila disemak, anak tiada di rumah, tak tahu ke mana. Tetapi jika pendidikan diberikan dengan betul, insya-Allah anak-anak akan menjadi penyejuk mata dan penyenang hati.


Oleh itu, seorang Muslim yang sejati mesti mengetahui betapa besar tanggungjawab terhadap pendidikan anak-anak yang telah dilahirkan.

Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 46:

“Harta dan anak-anak itu adalah perhiasan kehidupan dunia.”— (Surah Al-Kahfi: 46)


Namun dalam ayat lain pula, Allah memperingatkan bahawa anak-anak dan isteri juga boleh menjadi musuh jika mereka menjauhkan kita daripada jalan Allah:


“Sesungguhnya sebahagian daripada isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu adalah musuh bagi kamu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka.”— (Surah At-Taghabun: 14)


Kerana itulah Rasullah SAW mendoakan orang yang dikasihi oleh Baginda dengan doa kebaikan, sebagaimana diriwayatkan bahawa satu ketika, Anas bin Malik bersama ibunya dan ibu saudaranya telah menemui Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW mengimamkan mereka dalam solat (sunat). Selepas itu, mereka memohon kepada Baginda agar mendoakan kebaikan untuk Anas yang masih kecil.

Rasulullah SAW kemudian berdoa:

“Allahumma akthir mālahu wa waladahu wa bārik lahū fīmā a‘ṭaitah.”

“Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya, perbanyakkanlah anak-anaknya, dan berkatilah apa yang Engkau kurniakan kepadanya.”— (HR. Bukhari no. 1982, Muslim no. 660)


Doa ini menunjukkan bahawa harta dan anak-anak itu adalah nikmat, tetapi hanya jika disertai dengan keberkatan. Anas akhirnya menjadi seorang terkenal sebagai sahabat yang dijamin syurga, berkat doa baginda SAW.

 

 


 

 

Lima Cara Menyelamatkan Anak-anak Daripada Neraka

Sebagaimana yang telah dinyatakan, Allah SWT memerintahkan kita dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka…”

(Surah At-Tahrim: 6)


Dalam mentafsirkan ayat ini, para ulama seperti Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan “peliharalah keluargamu dari api neraka” ialah;


Memberikan ilmu agama kepada anak-anak

Ilmu agama mesti menjadi asas utama pendidikan anak-anak. Ia mendahului segala ilmu lain. Dalam sejarah, tokoh-tokoh besar Islam seperti Ibn Sina pun memulakan pendidikannya dengan ilmu agama sebelum mendalami ilmu falsafah, perubatan dan astronomi.

 

Ilmu agama merangkumi:

  • Tauhid (mengenal Allah dan keesaan-Nya),
  • Syariah (ilmu hukum dan ibadah), dan
  • Akhlaq/Tasawwuf (mendidik jiwa dan kelakuan).

Soalan kubur berkisar kepada Akidah, untuk soalan ibadat akan ditanyakan di Padang Mahsyar. Ini menujukkan pentingnya ilmu akidah.

 

Membimbing anak-anak dengan akhlak yang mulia

Bimbingan bukan sekadar mengajar secara lisan, tetapi juga menunjukkan contoh melalui perbuatan. Tangan kita membimbing mereka — tunjuk ajar sambil

  • Adab dengan orang tua dan orang muda,
  • Adab dengan makanan dan haiwan,
  • Adab dalam percakapan, pergaulan, dan hiburan.


Contohnya, jika anak diberikan makanan, ajar dia untuk bersyukur, tidak mengeluh atau menghina makanan. Jika tidak mahu makan, ajarkan untuk menolak dengan beradab,jangan menghina makanan.

 

Memerintahkan anak untuk menunaikan solat

Setelah akidah dipasak, maka ibadah adalah pelaksanaannya. Solat merupakan tiang agama.

 

Melarang anak daripada melakukan maksiat

Ibu bapa perlu menjadi pengawal dan penapis kepada anak-anak mereka. Jika kita melihat tanda-tanda kelalaian atau kelakuan maksiat, tegurlah dengan hikmah. Maksiat boleh merosakkan hati anak dan merosakkan seluruh keluarga.


Ada yang berkata, “Budak lagi, biar dulu.” Tapi sebenarnya, jika tidak ditegur dari awal, ia akan membentuk kebiasaan yang sukar dibendung kelak. Ajar mereka agar takut kepada dosa, dan tanamkan rasa malu kepada Allah SWT.

 

Mendoakan anak-anak agar mendapat hidayah dan keselamatan

Doa ibu bapa adalah senjata yang paling kuat, sentiasalah berdoa kepada anak-anak walaupun mereka sudah dewasa. Jangan sekali-kali berhenti mendoakan anak-anak — agar terpelihara dari api neraka.




Ringkasan:

  1. Memberikan ilmu agama.
  2. Membimbing dengan akhlak yang mulia.
  3. Memerintahkan solat.
  4. Mencegah daripada maksiat.
  5. Mendoakan kebaikan untuk anak.


Gambar-Gambar
Nota
Gambar

0 Ulasan

Catat Ulasan

Post a Comment (0)

Terbaru Lebih lama